Tuesday, February 1, 2011

tawan atau kawan?..

Assalamualaikum..
Tawan atau kawan? Seronok melihat kejayaan rakan2 mendaki gunung atau bukit. Sudah lama rasanya saya tak berkesempatan melakukan aktiviti yg pernah satu masa dulu menjadi nadi hidup ini. Kekangan waktu yg membatasi setiap pergerakan. Sekarang ni sy lebih bnyk melakukan perkara berkaitan pembangunan kumpulan belia di daerah pula.
   Sy pernah diajukan soalan menawan puncak atau berkawan dengan puncak semasa sy mengikuti progrm pendakian ke gng kinabalu pada bulan september 2004. Soalan diajukan oleh seorg pendaki profesional yg terlibat dengan projek everest pertama malaysia. Sy sudah terlupa namanya. Tetapi dari pemerhatian sy beliau serorg yg sungguh merendah diri, bersopan santun dan sentiasa menjaga pertuturannya ketika berbual walaupun beliau sudah bergelar pendaki profesional. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya. Kasihan juga melihatnya terpaksa menjawab segala pertanyaan sy lantaran keringanan mulut sy bertanyakan pelbagai hal berkaitan bidang yg sama2 kami cintai ini.
   Berbalik kepada pertanyaan beliau tadi, ramai antara rakan2 program ketika itu menjawab menawan puncak gunung. Beliau tersenyum. Lantas kata2 ini keluar dari mulutnya:
       "gunung, bukit-bukau dan alam ini adalah ciptaan Allah, begitu juga manusia. Jadi siapalah kita untuk menawan ciptaanNya."
Termanggu kami seketika. Mungkin istilah "menawan gunung" hanya satu metafora untuk menggambarkan kejayaan sampai ke pucak setelah mengorbankan segala keselesaan hidup seharian untuk merealisasikannya. Tetapi dari segi adab, saya rasa lebih elok dan sesuai jika kita gunakan istilah "Berkawan dengan puncak gunung". Ini mungkin menjadikan kita lebih menghargai ciptaanNya.
   Apapun setiap manusia mempunyai alasan tersendiri dalam menzahirkan sesuatu perkara. Yang penting kita masih mampu mengawalnya.

Saturday, December 18, 2010

Perkongsian Minat

Saya ingat lagi kali pertama saya berkhemah pada tahun 1991 ketika saya di darjah 4. Perkhemahan hanya dijalankan di kawasan sekolah dan tidur beralaskan tikar di dalam kelas. Pertama kali juga tidur di luar rumah berjauhan dari keluarga walaupun jarak rumah ke sekolah hanya 50m. Keseronokan yang sukar digambarkan apabila dapat bersama rakan-rakan yang selama ini hanya bersua di dalam kelas ketika sesi P&P.
    Saya akui minat saya terhadap aktiviti perkhemahan dan rekreasi bermula dari pengalaman pertama ini. Seterusnya naik ke sekolah menengah saya berpeluang mengikuti perkhemahan hampir setiap tahun. Beg siap di kemas dua minggu lebih awal dek kerana keterujaan di hati. Pengalaman yang ditimba semasa perkhemahan walaupun ada yang memeritkan tetap meninggalkan bekas yang manis untuk dihirup sehingga sekarang.
    Sewaktu menuntut di maktab perguruan banyak perkhemahan yang perlu disertai. Kem Bina Insan Guru, Pendidikan Luar dan juga kursus-kursus Pengakap menjadikan saya bertambah obses dengan cara hidup ini. Bukan sahaja perkhemahan anjuran, saya juga akan pergi berkhemah bersama rakan-rakan jika berkelapangan. Tidak kira musim, asalkan haruman rimba dapat dihidu bagi menghilangkan 'ketagihan'.
    Sehingga sekarang saya masih lagi meneruskan minat ini. Jika ada waktu senggang saya akan berkhemah bersama anak dan juga isteri. Alhamdulillah saya dianugerahkan seorang isteri yang memahami diri ini dan dia juga berkongsi minat yang sama. Saya juga bersyukur kerana Allah telah menganugerahkan saya hati dan jiwa yang menjurus ke arah ini. Mungkin personaliti saya terbentuk seperti hari ini hasil daripada minat yang sangat mendalam terhadap aktiviti perkhemahan ini.
    Saya yakin rakan-rakan juga mempunyai pengalaman berkhemah walaupun sekali seumur hidup. Besarlah harapan saya jika rakan-rakan semua sudi berkongsi cerita bersama saya di blog saya ini.

Friday, December 17, 2010

Pembuka Bicara

Assalamualaikum.
Salam sejahtera... Salam 1Malaysia
Sudah lama sebenarnya saya ingin mempunyai blog peribadi tapi masa dan ketika sering membatasi setiap tindakan yang ingin dimulakan. Bukanlah berniat menyalahkan fitrah alam yang memperuntukkan 24 jam sehari tetapi lebih kepada mengingatkan diri sendiri supaya lebih sistematik dalam menguruskan 24 jam sehari yang telah dikurniakan.
Tahun Hijrah baru sahaja meningkat naik dan harapnya seiring dengan peningkatan kematangan dan kedewasaan kita semua. Tahun 'orang putih' pula bakal berganti beberapa hari sahaja lagi. Maka sibuklah ibu bapa dan anak-anak dalam persiapan sesi baru persekolahan nanti.