Saturday, December 18, 2010

Perkongsian Minat

Saya ingat lagi kali pertama saya berkhemah pada tahun 1991 ketika saya di darjah 4. Perkhemahan hanya dijalankan di kawasan sekolah dan tidur beralaskan tikar di dalam kelas. Pertama kali juga tidur di luar rumah berjauhan dari keluarga walaupun jarak rumah ke sekolah hanya 50m. Keseronokan yang sukar digambarkan apabila dapat bersama rakan-rakan yang selama ini hanya bersua di dalam kelas ketika sesi P&P.
    Saya akui minat saya terhadap aktiviti perkhemahan dan rekreasi bermula dari pengalaman pertama ini. Seterusnya naik ke sekolah menengah saya berpeluang mengikuti perkhemahan hampir setiap tahun. Beg siap di kemas dua minggu lebih awal dek kerana keterujaan di hati. Pengalaman yang ditimba semasa perkhemahan walaupun ada yang memeritkan tetap meninggalkan bekas yang manis untuk dihirup sehingga sekarang.
    Sewaktu menuntut di maktab perguruan banyak perkhemahan yang perlu disertai. Kem Bina Insan Guru, Pendidikan Luar dan juga kursus-kursus Pengakap menjadikan saya bertambah obses dengan cara hidup ini. Bukan sahaja perkhemahan anjuran, saya juga akan pergi berkhemah bersama rakan-rakan jika berkelapangan. Tidak kira musim, asalkan haruman rimba dapat dihidu bagi menghilangkan 'ketagihan'.
    Sehingga sekarang saya masih lagi meneruskan minat ini. Jika ada waktu senggang saya akan berkhemah bersama anak dan juga isteri. Alhamdulillah saya dianugerahkan seorang isteri yang memahami diri ini dan dia juga berkongsi minat yang sama. Saya juga bersyukur kerana Allah telah menganugerahkan saya hati dan jiwa yang menjurus ke arah ini. Mungkin personaliti saya terbentuk seperti hari ini hasil daripada minat yang sangat mendalam terhadap aktiviti perkhemahan ini.
    Saya yakin rakan-rakan juga mempunyai pengalaman berkhemah walaupun sekali seumur hidup. Besarlah harapan saya jika rakan-rakan semua sudi berkongsi cerita bersama saya di blog saya ini.

Friday, December 17, 2010

Pembuka Bicara

Assalamualaikum.
Salam sejahtera... Salam 1Malaysia
Sudah lama sebenarnya saya ingin mempunyai blog peribadi tapi masa dan ketika sering membatasi setiap tindakan yang ingin dimulakan. Bukanlah berniat menyalahkan fitrah alam yang memperuntukkan 24 jam sehari tetapi lebih kepada mengingatkan diri sendiri supaya lebih sistematik dalam menguruskan 24 jam sehari yang telah dikurniakan.
Tahun Hijrah baru sahaja meningkat naik dan harapnya seiring dengan peningkatan kematangan dan kedewasaan kita semua. Tahun 'orang putih' pula bakal berganti beberapa hari sahaja lagi. Maka sibuklah ibu bapa dan anak-anak dalam persiapan sesi baru persekolahan nanti.